Kerajaan Sarawak Sedia RM200 Juta Bangunkan SRBN Di 150 Lokasi Pedalaman

LONG TERAWAN: Kerajaan Sarawak memperuntukkan dana sebanyak RM200 juta bagi menyediakan Jaringan Jalur Lebar Luar Bandar Sarawak atau Sarawak Rural Broadband Network (SRBN) di kawasan pedalaman di negeri ini.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, SRBN akan memberikan keutamaan dalam jaringan jalur lebar ke kawasan pedalaman khasnya di klinik-klinik desa, sekolah, hospital dan dewan masyarakat.

Menurut beliau, disebabkan kekangan kelajuan jalur lebar di kawasan pedalaman, kerajaan negeri telah mengambil satu inisiatif yang baru serta inovatif dengan menggunakan teknologi Fixed Wireless Access (FWA) di mana perkhidmatan jalur lebar dengan kelajuan tinggi dapat dibekalkan ke kawasan pedalaman.

“Saya telah memberi peruntukan RM200 juta kepada Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) yang dilantik sebagai agensi kerajaan untuk melaksanakan program SRBN ini.

“Usaha ini adalah untuk memberi kemudahan internet kepada 150 kawasan di pedalaman yang sukar mendapat liputan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Majlis Pelancaran MySRBN di Long Terawan pada Selasa.

CM LG2

Dalam pada itu, Ketua Menteri menambah, SDEC telah mengenalpasti sebanyak 150 lokasi bagi menyediakan kemudahan jaringan jalur lebar di kawasan pedalaman di negeri ini.

Malah katanya, setakat ini SDEC telah menyediakan kemudahan berkenaan di sebanyak 100 lokasi dan menjangkakan 50 lagi lokasi akan dilengkapkan dengan SRBN menjelang hujung tahun ini.

“Sehingga sekarang terdapat 50 lokasi belum dilengkapkan dengan kemudahan itu dan akan disiapkan sehingga hujung tahun 2021,” jelasnya.

Terdahulu ketika berucap, Ketua Menteri memberitahu, Kerajaan Sarawak telah mendahului negeri-negeri lain ke arah transformasi ekonomi sarawak ke arah kesalinghubungan digital.

“Dengan merapatkan jurang digital bandar-pedalaman MySRBN akan memberi peluang baharu bagi penduduk pedalaman berkembang maju sebagai komuniti yang didorong oleh data dan inovasi,” tambahnya.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Pelancongan, Kesenian Dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Speaker Dun Sarawak yang juga ADUN Mulu, Dato Gerawat Gala, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh, Menteri Muda Hal Ehwal Korporat Dan UKAS, Abdullah Saidol, Ahli Parlimen Baram, Anyie Ngau serta tetamu kehormat lain.-EDISI UKAS

Source:
https://ukas.sarawak.gov.my/2021/04/06/kerajaan-sarawak-sedia-rm200-juta-bangunkan-srbn-di-150-lokasi-pedalaman/

Share This Article